Thursday, April 7, 2011

Generasi Dayak moden pengaruhi landskap politik Sarawak

Oleh Jeniri Amir

Beita Harian: 23 Mac 2011

PAGI kelmarin saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang rakan di rumah panjang di luar bandar Sarawak. Beliau mengemukakan beberapa isu yang membelenggu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tempat beliau mengundi. Antaranya isu pembangunan, tanah hak adat Bumiputera (NCR), kekurangan kemudahan dan keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih, isu pengagihan projek kecil luar bandar, selain rasa kurang senang rakyat terhadap pemimpin parti dan kerajaan tempatan dan wakil rakyat.

Selain risau dengan sikap pengundi daripada golongan Dayak terpelajar, ada kerisauan terhadap kemungkinan sikap dan tingkah laku pengundi Dayak di luar bandar dan pedalaman yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN). Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dilaporkan bimbang terhadap kemerosotan pengundi Dayak, khususnya etnik Iban. Kaum Iban kebanyakannya mendiami kawasan luar bandar dan pedalaman, terutama di Sri Aman, Betong dan Kapit. Datuk Seri Dr James Jemut Masing tidak dapat menyembunyikan kerisauannya terhadap kecenderungan pengundi kelas menengah, elit dan berpendidikan Dayak. Beliau berkata golongan berpendidikan Dayak kemungkinan akan menolak BN. Mengapakah mereka berpendirian sedemikian? Adakah kerana isu tempatan atau membabitkan isu kepemimpinan negeri? Masyarakat Dayak ingin melihat kerajaan membawa pembangunan ke kawasan mereka. Dengan sebahagian besar daripada kerusi majoriti Dayak adalah di luar bandar, tidak hairan jika keperluan asas dan pembangunan masih relevan di kawasan terbabit. Masyarakat Dayak bukanlah tidak realistik. Mereka hanya ingin melihat projek pembangunan dilaksanakan di kawasan mereka.

Kaum Iban terkenal dengan amalan bejalai atau berhijrah bagi mencari rezeki dan nama supaya dapat mengangkat darjat pada mata masyarakat tempatan. Orang Dayak moden sanggup berhijrah sampai ke luar Semenanjung dan luar negara untuk mencari kehidupan dan rezeki. Di Johor saja dikatakan ada sekitar 40,000 orang Iban, malah mereka turut ada penghulu bagi menjaga kepentingan dan kebajikan mereka. Persoalannya, sejauh manakah Dayak moden dan terpelajar ini mempunyai pengaruh dan kesan terhadap corak pengundian di luar bandar dan rumah panjang? Dengan sistem komunikasi moden, anda tentu dapat membayangkan kesannya walaupun mereka jauh di perantauan.

Dengan penduduk sekitar 30 peratus atau 710,00 daripada 2.5 juta penduduk Sarawak, kuasa politik Iban adalah begitu besar. Kaum Bidayuh mempunyai sekitar 198,00 penduduk (8 peratus) dan Bumiputera lain, terdiri daripada Orang Ulu 140,000 (6 peratus). Masyarakat Dayak mempunyai 29 kerusi, dengan kerusi majoriti Iban 20, kaum Bidayuh enam kerusi dan Orang Ulu tiga kerusi. Daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak, 35 diperuntukkan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), 19 Parti Rakyat Bersatu Sarawak, sembilan kepada Parti Rakyat Sarawak dan lapan parti Demokratik progresif Sarawak (SPDP). Namun, PRS kalah satu daripada sembilan kerusi ditandinginya pada pilihan raya 2006 apabila Grabiel Adit sebagai calon Bebas memenangi kerusi Ngemah. Mampukah PRS menawan semula kerusi itu atau PRS akan kehilangan lagi kerusi lain?

Banyak isu yang membelenggu, malah mereka adalah masyarakat paling terbahagi. Terdapat pelbagai isu dihadapi pengundi Dayak, tetapi yang utama isu kemiskinan, dan tanah adat. Sebelum ini, masyarakat Dayak pernah memperlihatkan tingkah laku pengundian mereka yang tidak tetap. Berbanding kaum Melayu-Melanau, mereka sanggup menghadapi risiko. Pada pilihan raya 1987, daripada 20 kerusi yang dimenangi Kumpulan Maju yang menentang BN pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud, sebahagian besar ialah kerusi Dayak. Semangat Dayakisme disemarakkan bagi mempengaruhi pengundi di luar bandar dan strategi sedemikian mengena.
Berbanding kaum lain, kaum Dayak diwakili dalam setiap parti politik, BN dan pembangkang. Antara parti masyarakat Dayak yang pernah lahir di Sarawak ialah Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Pesaka Anak Sarawak, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), dan parti Star, Tindakan mereka menganggotai semua parti politik menyebabkan kekuatan kuasa politik mereka berpecah. Jika masyarakat Dayak bersatu di bawah satu bumbung, dikatakan ini akan memberi kesan terhadap landskap politik Sarawak. Namun, bagaimana pola pengundian di kalangan mereka dalam pilihan raya negeri ke-10 nanti, adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

No comments:

Google Search Engine

Custom Search