Monday, April 25, 2011

Pengalaman menganalisis perlakuan pengundi


Dr Jeniri Amir

Dalam ruangan ini sejak beberapa bulan lalu, saya menegaskan bahawa keputusan pilihan raya ke-10 tidak mungkin lebih baik daripada keputusan 2006 bagi Barisan Nasional.

Saya juga mengatakan, seperti peramal lain, BN akan dapat menguasai dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak, tetapi pasti dengan jumlah kerusi yang berkurangan. Undi popularnya akan merosot dan peratusan pengundian akan sedikit meningkat.

Memang itulah yang berlaku apabila undi popular diraih BN merosot sebanyak 8 peratus, daripada 63 peratus pada 2006 kepada 55 peratus dalam pilihan raya ini. Jika kemersosotan terus berlaku, masa depan BN kelihatan terancam.

Sinar di hujung terowong
Ya, masih adakah sinar di hujung terowong untuk BN? Dan, peratusan pengundian ternyata meningkat kepada 70 peratus daripada hanya 67 peratus dalam pilihan raya kesembilan.
Jangkaan saya itu tidaklah meleset. BN menang 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan, manakala DAP 13 kerusi, PKR tiga dan calon Bebas satu. Seperti yang saya jangkakan lebih daripada 70 peratus daripada 41 calon Bebas turut hilang wang pertaruhan. Pada 2006, 12 daripada 20 calon Bebas mengalami nasib yang serupa.

Meramalkan apa yang berlaku dalam pilihan raya bukanlah sesuatu yang mudah. Perkiraannya bukan seperti melakukan darab dan tolak dalam matematik.

Dalam politik kita tidak bermain dengan logik, melainkan sentimen. Sentimen sebahagian pengundi boleh berubah-ubah. Untuk menyelam ke dasar minda dan hati 980,000 pengundi bukanlah kerja mudah.
Sejak dua bulan lalu saya telah turun ke akar umbi cuba menyelami keluh kesah, denyut nadi dan gerak rasa pengundi dari Tanjung Datu hingga ke Lawas. Semua itu bukan sahaja banyak mengorbankan masa dan tenaga, tetapi wang ringgit.

Komitmen dan kecintaan
Tanpa komitmen dan rasa kecintaan yang mendalam, tentu sukar melakukannya. Selepas dua bulan, berjaga malam, dengan hampir tiap-tiap malam tidur jam 12.00 tengah malam atau jam 1.00 pagi, menyebabkan kadangkala saya keletihan.

Saya perlu mencerakinkan data, selain meneliti setiap laporan akhbar dan media alternatif di alam maya. Bolehlah dikatakan saya berfikir politik, makan politik dan bermimpi politik selama dua bulan.
Tetapi saya seronok apabila dapat bertemu dengan pelbagai peringkat masyarakat, daripada semua kaum, tidak kira di bandar, separuh bandar, luar bandar atau pedalaman. Ya, daripada semua kelas, profesion dan kaum.

Saya menjadi buruan media, daripada portal berita, media arus perdana dan media alternatif di dalam dan di luar negara. TV3 mengemukakan wawancara dalam program Soal Jawab dengan saya tiga malam sebelum hari pengundian, TV1 menampilkan saya sebagai seorang daripada ahli panel dalam Program Bicara Rakyat, malam sebelum hari mengundi. Pada malam undi dihitung, saya turut tampil di Astro-Awani dan TV1. Sekurang-kurangnya saya tampil 15 kali melalui Astro-Awani dalam tempoh dua bulan lalu. Dan hari ini, 24 April menjadi sejarah apabila Mingguan Malaysia menampilkan wawancara dengan saya dalam halaman pentingnya.

Semuanya adalah serba mencabar, lebih-lebih lagi ketika tampil dalam siaran langsung. Bukan sahaja maklumat tepat perlu berada di hujung hari, tetapi perlu pantas berfikir dan mampu mengemukakan hujah dengan jelas dan meyakinkan.

Namun, semua itu dimungkinkan berkat kegigihan melakukan penyelidikan sebelum hari pengundian. Saya bukan sahaja menggunakan lebih 5,000 borang soal selidik untuk mengetahui perlakuan pengundian dan sikap pengundi, tetapi turut dapat mengagak kemungkinan pada 16 April. Dapatan daripada borang soal selidik tidak mungkin menipu.

Menyusuri sungai dan meredah denai
Pada satu peringkat saya menggunakan khidmat lebih 50 pembanci untuk menemui pengundi yang terpaksa menjelajah penduduk kampung di pesisiran dan penghuni rumah panjang di pedalaman. Mereka menyusuri sungai dan meredah denai untuk menemui pengundi.

Mata saya semakin terbuka apabila melihat sendiri keadaan hidup mereka, kedaifan dan kemiskinan yang masih membelenggu di sesetengah kawasan. Selepas hampir 50 tahun merdeka dan dengan kekayaan yang bukan sedikit, saya kadangkala terkedu.

Apakah yang sudah berlaku kepada negeriku ini? Ke manakah mengalir sebahagian kekayaan dan sumber asli negeri? Mengapakah masih ada masyarakatku terpinggir? Tetapi saya kagum, mereka tetap penyokong setia BN.

Saya dari awal sudah meramalkan calon SUPP pasti kecundang di Batu Kawah, Kota Sentosa, Pending, Padungan, dan lain-lain. Ketika sebahagian orang meramalkan bahawa Profesor Sim Kui Hian akan menang di Pending, dapatan soal selidik saya mengatakan tidak mungkin beliau memenangi kerusi itu. Bayangkan lebih daripada 90 peratus responden menyokong DAP! Sesungguhnya, bukan isu calon yang menjadi persolan.

Pakar tersohor
Profesor Sim merupakan calon yang paling berkelayakan, seorang pakar sakit jantung yang tersohor. Tetapi terdapat isu lebih besar berlegar di dalam kepala masyarakat Cina. Mereka mahu menyaksikan peubahan dari segi kepemimpinan dan tadbir urus negeri. Mereka mahu SUPP yang lebih segar, berani dan lantang bersuara. Mereka mahu keadaan negeri yang lebih baik.

Dari segi strategi kempen dan komunikasi politik, dengan slogan “Real Heart, Real Action, Real Change”, beliau menampilkan strategi yang segar, inovatif dan meyakinkan. Beliau cuba melibatkan langsung pengundinya dengan mendapatkan maklum balas segera daripada pengundi dan penduduk di kawasannya.
Beliau mempunyai semacam Bidang Kerberhasilan Utama Kawasan (NKRA) dengan sasaran yang jelas dan spesifik dalam seratus hari sesudah dipilih sebagai wakil rakyat. Tetapi kini, semuanya tinggal impian kerana pengundi Cina menolak beliau dan memilih untuk menampilkan DAP yang lebih garang dan lantang di DUN Sarawak.

Dalam pertandingan satu lawan satu Profesor Sim kalah di tangan Violet Yong (DAP) dengan majoriti yang semakin mengukuh, iaitu 7,595 undi.

Bagi memastikan siapa yang bakal dipilih di Padungan, calon DAP atau Dominic Ng, calon Bebas, saya tidak teragak-agak untuk membuat tinjauan pantas sehari sebelum pilihan raya dengan menggunakan soal selidik dan mendapatkan pandangan seratus responden.

Jelas mereka memihak kepada calon DAP kerana pengundi Cina di situ mahu DAP yang lebih bertenaga di DUN Sarawak. Dan, itulah yang sebenarnya berlaku apabila Wong King Wei meraih 11,957 undi berbanding Sim Kiang Chiok sebanyak 4,074 undi dan Dominic Ng hanya 439 undi.

Berdasarkan dapatan soal selidik juga, pertentangan sengit dijangka berlaku di Kota Sentosa, tetapi ternyata kerana keghairahan dan begitu menggelegaknya sentimen pengundi Cina dan juga bumiputera di situ untuk melakukan perubahan, maka akhirnya pemimpin muda DAP, Chong Chieng Jen meraih majroti besar, iaitu 4,824 berbanding hanya 531 undi pada 2006.

Sesungguhnya, pilihan raya ini bagi saya memperluas pengalaman dan kemahiran dalam menganalisis perlakuan pengundian dan memahami isu. Saya juga faham, apa yang dilakukan pada saat-saat akhir dapat mempengaruhi sikap pengundi sama ada menyokong pembangkang atau BN.

Sebahagian pengundi menjunjung tinggi politik idealisme, dan selebihnya mengutamakan perpaduan dan politik pembangunan. Itulah yang berlaku apabila pengundi Cina menolak BN dan pengundi bumiputera pada amnya menjadi penyokong BN.

*Penulis ialah penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak
Sarawak Update

No comments:

Google Search Engine

Custom Search